Friday, January 22, 2010

Permohonan ke IPTA secara talian sepenuhnya sesi 2010/2011

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi Program Lepasan SPM/Setaraf dilaksanakan melalui aplikasi dalam talian secara sepenuhnya mulai sesi akademik bagi 2010/2011.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi, permohonan diadakan dalam dua fasa dan bagi fasa pertama ia telah dibuka kepada pemohon mulai 2 November lepas dan tarikh tutup adalah pada 31 Disember ini.

Fasa kedua permohonan pula akan dibuka pada 2 Februari 2010 mulai pukul 12 tengah hari sehingga 30 Mac 2010.


Menurut kenyataan itu lagi, permohonan kali ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu kategori bagi pemohon SPM 2009, kategori B bagi lepasan SPM 2008 atau 2007, kategori C untuk lepasan SPM 2006 atau sebelumnya atau yang mempunyai sijil setaraf yang diiktiraf oleh IPTA dan kategori D adalah bagi lepasan SPM 2007 dengan sijil ulangan 2008 atau SPM 2007 dengan sijil ulangan 2009, atau SPM 2008 dengan sijil ulangan 2009.

Pemohon boleh mengemukakan permohonan dengan mendaftar melalui URL laman web rasmi kemasukan ke IPTA di http://upu.mohe.gov.my.

Bagi pemohon fasa 1, mereka dikehendaki mengemukakan permohonan dengan menggunakan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan dan mengisi di bahagian maklumat peribadi, maklumat pekerjaan dan keluarga, kategori permohonan dan maklumat aktiviti kokurikulum yang disertai.

Bagi pemohon fasa dua, mereka perlu membuat permohonan dengan menggunakan nombor unik ID dan nombor kad pengenalan atau MyKad serta kata laluan.

"Pemohon boleh mendapatkan nombor unik ID yang boleh dibeli dengan harga RM10.60 di mana-mana kaunter Bank Simpanan Nasional (BSN) atau melalui mesin ATM atau SMS (jarak) Banking (bagi pemegang akaun GIRO) di seluruh negara mulai 1 Februari 2010 sehingga tarikh tutup permohonan pada 30 Mac 2010.

"Pemohon dibenarkan membuat sekali permohonan dan tiga kali pengemaskinian sehingga tarikh tutup permohonan iaitu pada 30 Mac 2010," kata kenyataan itu.

Sebarang pertanyaan boleh dirujuk kepada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di talian 03-88835801 atau 03-88835802 atau emel ke www.upu.mohe.gov.my. - BERNAMA

SANTAI...PERSAHABATAN











syarat ke IPTA

10 peratus markah kokurikulum masuk IPTA

PUTRAJAYA 30 Dis. - Pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi program pengajian lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah berasaskan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Radin Umar Radin Sohadi berkata, 10 peratus markah kokurikulum akan diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran yang bertanggungjawab menilai penglibatan pelajar dalam aktiviti tersebut.

''Markah kokurikulum yang diperoleh akan dipadankan dengan markah akademik yang diperoleh daripada agensi peperiksaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia; Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran serta Lembaga Peperiksaan untuk tujuan pemilihan pelajar ke IPTA.


''Dasar perkongsian data Kementerian Pengajian Tinggi dengan agensi peperiksaan dan Kementerian Pelajaran meningkatkan integriti dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Radin Umar berkata, perkara tersebut perlu dijelaskan selepas pihaknya menerima beberapa pertanyaan daripada orang ramai yang masih tidak pasti dengan kaedah pengiraan markah untuk masuk ke IPTA.

''Kementerian telah mengedarkan risalah lengkap ke semua sekolah menengah mulai minggu pertama November bagi menerangkan prosedur permohonan dan pemilihan ke IPTA.

''Pemohon digalakkan mendapatkan bimbingan, khidmat nasihat dan panduan yang jelas serta tepat daripada guru bimbingan dan kaunseling di sekolah sebelum mengemukakan permohonan ke IPTA," katanya.

Tambahnya, orang ramai boleh melayari laman web upu.mohe.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

''Orang ramai juga boleh mengunjungi Karnival Pengajian Tinggi di 10 zon terpilih dari 9 Januari hingga 29 Mac 2010 untuk mendapatkan nasihat mengenai IPTA, institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti dan institusi pendidikan tinggi lain," katanya